15 September 2013

Hubungan Akal dan Wahyu Dalam Mengenal Tuhan

Perhubungan akal dan wahyu merupakan suatu perkara yang diperdebatkan dikalangan golongan Asya'irah dan Muktazilah dalam membincangkan perkara 'Mengenal Tuhan'. Ini kerana, Muktazilah berpegang kepada pendapat ; manusia itu dapat mengenali Tuhan hanya dengan menggunakan akal. 

Soalnya, adakah sudah cukup sekadar setiap manusia itu berakal dan cukup syarat sebagai mukallaf maka dia dikira wajib mengenali Tuhan ?

Atau,

Adakah setiap manusia itu wajib mengenali Tuhan hanya selepas diutuskan seorang Rasul kepadanya ?

Ini merupakan perbezaan diantara aliran pemikiran Muktazilah dan Asya'irah.

Golongan Muktazilah mengatakan bahawa sudah wajib bagi orang yang mampu berfikir untuk mengenali Tuhan. Bagi mereka, akal memegang peranan penting dalam menunjuk kepada kebenaran dan sudah cukup bagi manusia berpandu akal untuk mengenal Tuhan. Justeru, pengutusan Rasul itu sendiri tidak begitu penting kerana akal sudah cukup menggantikan tempat Rasul sebagai pembimbing manusia. 

Maknanya, jika pada suatu zaman itu tidak diutuskan barang seorang rasul, maka tiada masalah. Kerana manusia itu sudah mempunyai akal dan dapat memikirkan dan mengenal Tuhan. 

Sudah tentu kita tertanya-tanya, adakah Muktazilah menafikan secara total insan-insan yang diberi tugas sebagai para Rasul ini ? Jika begitu, tidakkah rosak rukun iman bagi siapa yang mengimani aliran ini ?

Bagi menjawab persoalan ini, Muktazilah menggariskan 2 objektif pengutusan Rasul bagi mereka;

1) Rasul itu tugasnya sebagai memberi peringatan kepada umatnya tentang bagaimana menggunakan akal. Rasul itu mengingatkan umatnya yang lupa tentang bagaimana menguruskan akal mereka supaya dapat mengenali Tuhan. 

2)  Rasul berperanan sebagai penghujah, bagi menolak hujah-hujah yang dikemukakan orang kafir.

Jadi, boleh dikatakan bahawa Muktazilah tidak mengatakan bahawa kedatangan Rasul ini tidak perlu dalam erti kata yang sebenar. Kerana dalan hal-hal ibadah, masih memerlukan seorang Rasul untuk memberi penerangan. 

Penggunaan akal bagi Muktazilah adalah untuk mengenal pencipta alam ini secara kasar. Jika seorang mukallaf itu mati tanpa ada Rasul yang diturunkan pada zamannya, dan pada masa yang sama dia tidak percaya kepada Tuhan, maka menurut Muktazilah, dia akan diseksa kerana dalam masa hidupnya dia wajib mengenali Tuhan menerusi akalnya.

Bagi pengikut aliran Asya'irah, bagi mengetahui tentang keesaan dan kewujudan Tuhan itu, wajib menerusi Rasul atau wahyu dan bukannya akal semata-mata. Ini sama sekali bertentangan dengan pendapat aliran Muktazilah. 

"Dan tidak kami menyeksa sehingga kami mengutuskan seorang Rasul" (Surah Al-Hijr, ayat 15)

Ayat diatas dengan jelas menafikan bahawa adanya penyeksaan sebelum sesorang Rasul itu diutuskan. Kedatangan Rasul itu sendiri adalah untuk menyempurnakan wahyu Tuhan kepada manusia, kerana segala kewajipan dan pendapat itu perlu didasarkan kepada wahyu dan bukannya akal semata-mata. 





Artikel diatas merupakan ringkasan dan olahan semula daripada buku 'Antologi Pemikiran Islam' karya Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim.

08 September 2013

Agama : Sejahtera untuk siapa?

Kenapa ada manusia tak percaya agama? Kerana ada golongan agama yang sedaya upaya 'memperindahkan' masalah rakyat dengan dalil-dalil agama terpilih sehingga terlihat hodohnya agama.

Menurut Karl Marx:

Religion is an illusion that provides reasons and excuses to keep society functioning just as it is.
Religion is hypocritical. Although it might profess valuable principles, it sides with the oppressors. Jesus advocated helping the poor, but the Christian church merged with the oppressive Roman state, taking part in the enslavement of people for centuries. In the Middle Ages the Catholic Church preached about heaven, but acquired as much property and power as possible.

Perkara ini bukan sahaja berlaku pada zaman Marx, bahkan berlaku dimana-mana sahaja sehingga kini, khususnya di Malaysia. Ketika rakyat berdepan kesusahan, ditindas hak mereka sebagai warganegara yang sah, dibebankan mereka dengan harga barang yang melambung tinggi, ditangkap mereka-mereka yang berlainan fikrah, lalu dipanggil golongan-golongan agama bagi menyokong tindakan zalim kerajaan.

Maka bertubi-tubi lah rakyat di'sekolah'kan. Diselitkan dalil-dalil indah agama seolah rakyat itu tak pernah sekolah! Juga diberikan pelbagai gelaran kepada yang menentang. Liberal, sekular, khawarij. 

Maka kekallah rakyat itu dalam kebingungan. Merintih dikurangkan beban, tapi apa yang mereka dapat? Ceramah motivasi percuma supaya menurut kehendak kerajaan, gelaran-gelaran baharu bagi mereka yang menentang. Bahkan lebih teruk, ditangkap, dipenjara tanpa soal.

Tidak hairanlah wujud golongan yang tidak beragama jika sampai ke tahap ini agama digunakan. Agama itu hanya dilihat sebagai 'pil penenang' bagi meredakan kesakitan yang ditanggung rakyat. Sedangkan bukan itu tugas agama. 

Islam itu sejahtera bagi siapa?

Islam itu sendiri membawa maksud sejahtera. Apakah sejahtera yang dimaksudkan itu hanya terbatas kepada selesa, redho dan tunduk serta bersyukur dengan keadaan sedia ada? Jika itu yang dimaksudkan, jumudlah agama, rosak negara.

Disaat pak menteri dan ahli parlimen diiring dengan karpet merah hanya untuk masuk kedalam kereta, rakyat memerah keringat berhempas pulas untuk mencari tempat berteduh. Adakah itu sejahtera yang dimaksudkan? Cukup sekadar pemimpin-pemimpin 'Islam' hidup mewah tetapi rakyat bertarung mati? Bukan setakat kereta, karpet yang dipijak menteri pun belum tentu mampu dibeli rakyat marhaen! 




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...