19 November 2013

Musyrikin adalah najis : Suatu penilaian


Surah At-Taubah merupakan salah satu daripada surah yang dikategorikan sebagai surah Madaniyah. Ia termasuk di dalam deretan surah yang terakhir yang diturunkan di Madinah Al-Munawwarah. Oleh sebab itu, surah ini banyak menyebut tentang gambaran dan batas-batas hubungan masyarakat muslim dan masyarakat yang lain seperti hubungan dengan orang kafir dan orang munafik.


Ia dinamakan dengan surah At-Taubah kerana di dalamnya mengandungi kisah taubatnya orang-orang mukmin secara umum, khususnya tiga orang yang tertinggal dari Perang Tabuk. Seperti mana firmanNya di dalam ayat yang ke 117-118 :
  
117. Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar Yang mengikutnya (berjuang) Dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka; Sesungguhnya Allah amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka.

118. Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang Yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi Yang Luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin Bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadanya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.

Surah ini juga dinamakan dengan surah Al-Fadhihah yang bermaksud ‘penyingkap’ kerana surah ini turut menyingkap rahsia-rahsia orang munafiq. Dan surah ini juga merupakan satu-satunya surah yang tidak dimulai dengan tulisan Basmalah diawalnya. Ini kerana, lafaz ‘Basmalah’ itu menunjukkan sifat rahmat. Dan di antara rahmat Allah S.W.T ialah keamanan, sedangkan, surah ini ditujukan kepada orang kafir serta munafiq yang wajib diperangi.


Di antara kandungan yang terdapat di dalam surah ini ialah pengisytiharan perang terhadap golongan musyrikin di tanah Arab berikutan putusnya perjanjian yang telah dimeterai, menerangkan tentang ahli kitab serta kebolehan memerangi mereka disebabkan penyelewengan aqidah dan rosaknya pandangan mereka. Selain itu, surah ini juga menerangkan sifat-sifat orang munafik dan bagaimana mereka menyelinap ke dalam Islam dengan menyebarkan berita-berita palsu serta menghalang daripada orang Islam untuk berjihad.


Orang Musyrikin Adalah Najis


28. Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
          
Di antara isi kandungan surah At-Taubah ialah tentang berakhirnya hubungan kaum Muslimin dengan golongan-golongan musyrikin.  Titik tolaknya ialah pada ayat di atas iaitu ayat yang ke-28, di mana Nabi Muhammad S.A.W telah memerintahkan Sayidina Abu Bakar R.A mengetuai rombongan haji ke Makkah. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-9 Hijrah. Di Makkah, Sayidina Abu Bakar telah menyampaikan amanat Nabi S.A.W bahawa tidak seorang pun orang musyrik boleh mengerjakan haji selepas tahun ini.  Kemudian, diikuti pula dengan Sayidina Ali R.A yang membacakan firman Allah S.W.T, iaitu permulaan Surah At-Taubah yang menyatakan tentang pembatalan perjanjian damai dengan kaum musyrikin yang dibuat dalam peristiwa Hudaibiyah dahulu.


Tujuannya ialah untuk membersihkan Baitullah daripada unsur-unsur syirik dan khurafat. Kerana sebelum ini, golongan musyrikin bertawaf dalam keadaan telanjang. Oleh itu, Nabi S.A.W menunjukkan tatacara mengerjakan haji dengan betul. Seperti mana sabdanya :

"خذوا عني مناسككم"
Ambillah dariku tatacara manasik kalian

            Ayat ke-28 daripada surah At-Taubah ini mengandungi suatu larangan kepada orang musyrikin. Mereka yang dimaksudkan ini ialah orang kafir penyembah berhala ataupun penganut-penganut agama lain seperti Yahudi dan Nasrani.  Mereka ini dilarang daripada memasuki ataupun mendekati masjid yang suci di Makkah, atau dengan kata lain, mereka diharamkan daripada menjejakkan kaki memasuki Tanah Haram di Makkah.


            Larangan tersebut bermula pada tahun hadapan, iaitu pada tahun ke-10 Hijrah di mana Nabi S.A.W akan datang ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji. Maka pada masa itu, golongan musyrikin tidak dibenarkan untuk menunaikan ibadat haji seperti biasa. Nabi pernah bersabda :

"لأخرجن اليهود والنصارى من جزيرة العرب فلا أترك فيها إلا مسلما"
Pasti aku akan keluarkan orang-orang Yahudi dan Nasrani dari tanah Arab sehingga tidak ada lagi yang tinggal di dalamnya melainkan orang Islam.”


Larangan ini dibuat kerana mereka disifatkan oleh Allah S.W.T sebagai orang-orang yang kotor, yakni kotor dari segi hukumnya, bukan kotor dari segi tubuhnya. Apa yang dimaksudkan dengan kotor dari segi hukum ialah, kerana kepercayaan mereka yang menyekutukan Allah S.W.T, serta jika mereka berjunub, mereka tidak mengangkat hadas.


            Menurut pendapat Ibnu Hazm, beliau mengatakan bahawa, maksud najis tersebut adalah najis secara literal, yang bermakna, orang musyrikin itu sendiri yang najis. Beliau berkata, “Saya hairan, bagaimana kalian menganggap tidak najis (suci) apa yang telah dikatakan oleh Allah sebagai najis? Allah mengatakan bahawa mereka itu (orang musyrikin) adalah najis, sedangkan ada orang yang menganggap peluh dan air liur mereka (orang musyrikin) tidak najis. Oleh itu, barang siapa yang menggauli isterinya yang beragama Nasrani dan menciumnya, kemudian ia terkena air liur isterinya, maka ia wajib mencucinya sebagaimana ia mencuci najis air kencing.”


            Hasan Al-Basri juga mempunyai pendapat yang hampir serupa. Beliau mengatakan bahawa, “Barangsiapa yang berjabat tangan dengan orang musyrikin, hendaklah ia berwudhu’ atau mencuci tangannya kerana bekas keringatnya”.


            Akan tetapi, Imam Mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan Hanbali pula mengatakan, “Air liur dan peluh orang Nasrani tidak najis. Maksud najis di dalam ayat tersebut hanyalah dari segi hukumnya, iaitu najis kemusyrikannya, adapun orangnya tidaklah najis.”


Gelaran kotor ini merupakan celaan kepada mereka. Mereka inilah yang menyembah dan memuja patung dan berhalau ntuk dijadikan tuhan. Padahal kesemua objek itu tidak dapat mendatangkan manfaat atau mudarat. Mereka lebih percaya kepada perkara-perkara yang karut dan khurafat untuk dijadikan pegangan hidup dan juga sebagai kebudayaan yang sesetengahnya diagung-agungkan melebihi daripada agama. Mereka memakan bangkai dan darah yang sememangnya kotor. Mereka juga menghalalkan judi dan zina serta meluluskan perkarayang ditegah melakukannya pada bulan-blan haram, iaitu perkara-perkara kotor yang jelas.


            Dengan sebab kekotoran yang dimaksudkan ini, mereka tidak lagi dibenarkan untuk memasuki Masjidil Haram, lebih-lebih lagi  untuk bertawaf di keliling Kaabah dalam keadaan telanjang, menyekutukan Allah semasa mengucapkan talbiah, dan bersiul serta bertepuk tangan ketika bersembahyang. Yang dimaksudkan dengan Masjidil Haram itu ialah masjid itu sendiri dan seluruh kawasan masjid. Baitullah dan sekelilingnya disebut al-Haram kerana kesuciannya. Ini disebut di dalam firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat pertama :

1. Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.

Ahli Madinah yang bermazhab Maliki berpendapat bahawa ayat ini melibatkan kesemua orang musyrikin dan untuk semua masjid-masjid. Oleh itu, Khalifah Umar Abdul Aziz memerintahkan kepada seluruh pegawainya bahawa tidak seorang pun orang musyrik boleh memasuki Makkah, atau Masjidil Haram atau masjid-masjid lain selama-lamanya.


Manakala Imam Syafie berkata, bahawa ayat ini melibatkan kesemua orang musyrik, tetapi hanya khusus kepada Masjidil Haram sahaja. Oleh itu, diharamkan orang musyrikin mana pun memasuki Masjidil Haram, namun mereka dibolehkan memasuki masjid-masjid yang lain.


Imam Abu Hanifah dan sahabatnya pula berpendapat bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak diharamkan memasuki Masjidil Haram, kecuali orang-orang yang menyembah berhala.


Para ulama’ telah menerangkan mengenai hak orang kafir terhadap negara Islam yang terbahagi kepada 3 bahagian.

1.    Kawasan Tanah Haram. Tidak boleh seseorang kafir memasukinya dengan apa cara sekalipun, dengan apa cara sekali pun, berdasarkan kepada zahir ayat ini.
2.    Tanah Hijaz. Ini ditetapkan jaraknya dari negeri-negeri yang di antara Adan sampai ke Rif di Iraq, dan lebarnya dari Jeddah dan sepanjang pantai laut hingga ke hujung negeri Syam. Orang-orang kafir dibolehkan memasuki negeri itu dengan syarat, mereka perlu mendapat keizinan tetapi tidak boleh berada melebihi daripada 3 hari.
3.    Seluruh Negara Islam. Di dalam negara-negara Islam dibolehkan orang-orang kafir Mua’had, kafir Musta’man dan kafir Zimmi. Tetapi mereka ini tidak dibenarkan berada dimasjid melainkan telah mendapat keizinan daripada orang Islam.


Di dalam ayat ini juga diceritakan bagaimana ketika itu, terdapat segolongan Muslimin yang bimbang Makkah akan mengalami kekurangan makanan kerana tidak ada makanan dari ladang dan dusun-dusun seperti Taif dan sekitarnya yang dibawa masuk oleh saudagar-saudagar dan petani-petani dari orang musyrik disebabkan mereka dilarang memasuki kota Makkah.. Ini kerana, apabila orang-orang musyrikin masuk ke Makkah, mereka akan membawa bersama mereka bahan-bahan makanan untuk diniagakan di Makkah. Disebabkan Allah S.W.T telah mengharamkan mereka masuk ke kota Makkah, maka risaulah segelintir penduduk Makkah, bimbang mereka akan kebuluran.


Maka Allah telah meyakinkan mereka bahawa Allah akan memberikan kepada mereka kekayaan yang melimpah ruah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Kaya. Beberapa ketika selepas itu, ramai di antara orang-orang Yaman telah memeluk agama Islam dan banyak yang datang ke Makkah membawa bekalan makanan. Begitu juga dengan orang-orang musyrik. Mereka juga telah memeluk agama Islam sehinggakan tidak ada lagi dilkalangan mereka yang dilarang daripada memasuki Kota Makkah. Tambahan lagi, kota Makkah menjadi semakin subur dengan turunnya hujan tidak lama selepas itu. Jika diimbas kembali pada sejarah Nabi Ibrahim A.S, baginda pernah berdoa kepada Allah S.W.T supaya kota Makkah menjadi tempat tanaman yang subur;

   37. "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah suci Makkah) Yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahmu Yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (Mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya Dengan ibadat). oleh itu, Jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.”

Semenjak dari itu, kota Makkah menjadi sebuah kota yang makmur, kerana dibanjiri oleh pengunjung-pengunjung  daripada pelbagai negeri di seluruh pelosok dunia, ditambah pula dengan harta-harta rampasan perang dari negeri-negeri yang ditakluki dari semasa ke semasa. Ini menjadikan penduduk di kota Makkah meningkatkan taraf sistem ekonomi mereka sama ada di dalam bidang perniagaan, pertanian dan pertukangan.


Kota Makkah betul-betul telah mencapai tahap yang istimewa serta dipandang tinggi oleh negeri-negeri lain kerana terdapatnya peluang perniagaan di sana, serta keadaannya yang aman membuatkan orang ramai selesa hendak berkunjung ke kota Makkah. Apabila tibanya musim haji, maka berpusu-pusu lah umat Islam datang ke Makkah untuk mengerjakan ibadah Haji dengan aman dan tenteram.



Rujukan :

1.    Al-Quranul Karim

2.    Sheikh Abdullah Basmeih, Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, Jakim & Darulfikir, 2001.

3.    Imam Jalaluddin Al-Mahalliy & Imam Jalaluddin As-Suyuthi, Tafsir Jalalain Berikut Asbaabun Nuzul Ayat, Jilid 2, Penerbit Sinar Baru Algesindo, Bandung, Indonesia, 1990.

4.    Ahmad Sonhadji Mohamad, Tafsir Al-Quran ‘Ibrul Athir (Tafsir Al-Quran Di Radio), Pustaka Al Mizan, Kuala Lumpur, 1989.

5.    Assyahid Asyyeikh Abdullah Azzam, Di bawah Naungan Surat At-Taubah, Maktab Khidmat Al Mujahidin, Peshawar, Pakistan, 1993.
  

  Oleh : 
   Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Islam (SK) 
   Diploma Eksekutif Pengajian Syariah, Universiti Malaya




0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...