07 December 2012

Ilmu Mustalah Hadis : Pengertian dan Matlamatnya


Pendahuluan

Umat islam diseluruh dunia umumnya telah sedia maklum bahawa hadis-hadis daripada Rasulullah S.A.W merupakan pedoman hidup yang utama selepas Al-Quran. Segala perlakuan manusia yang tidak dijelaskan hukumnya, tidak diperincikan dalil Al-Quran terhadapnya, tidak dikhususkan hukumnya yang masih mutlak di dalam Al-Quran, maka hendaklah dirujuk di dalam hadis untuk mencari penyelesaiannya. Sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Hasyr ayat 7:

“Dan apa jua perintah Yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka Terimalah serta amalkan, dan apa jua Yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang Yang melanggar perintahNya).”

            Oleh sebab peranannya yang sangat penting kepada umat Islam, maka ketaatan dan iltizam terhadap apa yang dibawa oleh hadis adalah suatu tuntutan dan kewajipan. Perkara ini telah dijelaskan di dalam al-Quran dan nas-nas daripada hadis itu sendiri serta ijma’ para ulama’.
Allah mewajibkan orang islam mentaati rasul di samping ketaatan kepada Allah. Seperti mana di dalam firmanya di dalam surah Annisa’ ayat 59 dan ayat 80.

“Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

"Sesiapa Yang taat kepada Rasulullah, maka Sesungguhnya ia telah taat kepada Allah; dan sesiapa Yang berpaling ingkar, maka (janganlah Engkau berdukacita Wahai Muhammad), kerana Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara mereka dari melakukan kesalahan)."

Dengan pengesahan daripada Allah S.W.T yang mengiktiraf keutamaan hadis di dalam menentukan sebarang hukum selepas Al-Quran, maka jelaslah kedudukan hadis tersebut. Para sahabah Radhiallahuanhum juga sepakat mengatakan hadis sebagai sumber rujukan mereka. Tidak ada seorang pun di antara mereka yang hanya beramal dengan dengan Al-Quran semata-mata.

Mungkin ada pihak-pihak yang menolak hadis yang diriwayatkan kepada mereka, namun ini bukanlah bukti bahawa mereka menolak hadis secara keseluruhannya, tetapi mereka sebenarnya tidak yakin dengan kesahihan hadis tersebut ataupun terdapat hadis lain yang lebih kuat kedudukannya. Maka, di dalam kes ini, adalah lebih baik mereka mengutamakan hadis yang lebih sahih dan menolak riwayat yang diragui. Hal ini menunjukkan bahawa para sahabat sangat menitik beratkan kesahihan sesuatu hadis sehinggakan hadis yang telah sampai kepada kita pada hari ini telah melalui proses penapisan yang telah dilakukan oleh para ulama’-ulama’ hadis serta telah diletakkan taraf bagi sesuatu hadis.

Sebagai satu kaedah dalam memilih hadis-hadis yang diterima oleh mereka, para ulama’ telah menyusun suatu kaedah yang dapat menentukan taraf hadis. Kaedah itulah yang disebut sebagai ilmu Mustalah Hadis.

Sejarah Perkembangan Ilmu Mustalah Hadis

Para pengkaji sejarah telah berpendapat bahawa asas bagi ilmu Mustalah Hadis adalah berdasarkan kepada firman Allah S.W.T di dalam surah al-Hujurat ayat 6:
  
Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.

Firman Allah di atas telah menjadi titik permulaan kepada pengambilan hadis dan pemeliharaan ilmu mustalah hadis dengan sepenuh perhatian. Demi melaksanakan perintah Allah dan RasulNya, para sahabat telah menetapkan satu garis panduan yang perlu dituruti dalam menerima dan meriwayatkan hadis-hadis daripada Rasulullah S.A.W. Mereka sangat berhati-hati agar tidak terdapat sebarang keraguan pada kebenaran pemindahan hadis tersebut. Sanad bagi sesebuah hadis sangat penting dalam penerimaan sesebuah hadis.

Setiap hadis tidak akan diterima kecuali selepas diketahui sanadnya. Maka dengan itu, lahirlah ilmu Jarh Wa Ta’dil, ilmu tarikh ar-ruwah, pengetahuan sanad terputus dan lain-lain. Kemudian para ulama’ telah meluaskan lagi ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kekutan ingatan seseorang perawi, cara menerima dan menyampaikan hadis, ilmu nasikh dan mansuh, ilmu gharib al-hadis dan sebagainya.

Berikutan dengan iu, maka bermulalah penulisan dan pembukuan ilmu mustolah hadis. Namun, pada peringkat awal, ia dilakukan dalam kedudukan yang berselerak dengan diletakkan di dalam sebuah kitab yang bercampur dengan pelbagai ilmu lain seperti ilmu usuluddin, ilmu fikah, dan hadis.

Pada kurun keempat hijrah, para ulama’ telah mula membukukan ilmu ini secara berasingan dengan ilmu-ilmu lain. Kitab mustolah hadis yang pertama telah dikarang oleh al-Qadhi Abu Muhammad al-Hassan bin Abdul Rahman bin Khilad al-Ramahurmuzi yang bertajuk al-Muhaddith al-Fasil baina ar-Rawi wal Wa’ie.

Pengertian Ulum Hadis

Perkataan Hadis diambil dari asal perkataan Arabحديث  yang bermaksud baru, perkhabaran, percakapan atau berita. Dari segi istilah pula, hadis bermaksud segala apa yang disandarkan kepada nabi baik berupa perkataan, perbuatan, sifat tubuh badan atau kelakuan, ketetapan dan perjalanan hidup rasulullah SAW. 

Manakala pengertian bagi Ulum al-Hadis pula ialah; Satu gagasan ilmu yang mengandungi prinsip-prinsip, disiplin-disiplin, dan kaedah-kaedah tentang hadith, baik yang bersangkutan dengan sanad (rangkaian perawi hadith) atau matan (lafaz hadith), bagi mengkaji kesahihan Hadith dan memahami maksud serta menangani gejala anti hadith. Pengertian ini diguna pakai oleh Imam Nawawi. Ilmu ini dianggap semulia-mulia  cabang ilmu islam kerana melaluinya sesuatu riwayat itu diketahui sabit atau tidak daripada baginda Nabi s.a.w.  

Mustolah al-Hadis merupakan salah satu cabang daripada ilmu hadis. Ianya satu ilmu untuk mengetahui istilah- istilah yang digunakan dalam ilmu hadis. Selain itu, Ilmu mustolah al-Hadis ialah ilmu yang membahaskan unsur- unsur dan kaedah-kaedah untuk mengetahui keadaan sanad dan matan hadis dari segi diterima atau ditolak. Inti perbahasannya ialah sanad dan matan hadis dari segi diterima atau ditolak. Ini dapat membezakan hadis sahih daripada hadis yang tidak sahih. Ia juga bermaksud ilmu yang membahaskan tentang keadaan perawi dan apa yang diriwayatkan sama ada diterima dan ditolak. Berdasarkan ini kita dapat mengetahui dan memilih hadis- hadis yang diterima atau ditolak.

Matlamat Ilmu Mustalah Hadis

Ulama’ telah berusaha bersungguh-sungguh memperkembangkan ilmu Mustalah Hadis ini demi menjaga status hadis yang berupa sumber rujukan umat Islam daripada bercampur aduk dengan sumber-sumber yang diragui.

1. Dengan adanya suatu kaedah dalam memelihara hadis-hadis Nabi S.A.W ini, agama Islam akan terselamat daripada sebarang bentuk penyelewengan. Hadis-hadis disampaikan kepada umum melalui sanad-sanadnya. Dengan ini, taraf sesuatu hadis itu dapat dibezakan sama ada ianya Sahih, Hasan, ataupun Dha’if.

Sekiranya hadis itu Sahih yang kuat, maka tidak ada lagi pertikaian mengenainya. Manakala sekiranya hadis itu Dha’if, para ulama’ bersepakat bahawa harus beramal dengannya di dalam perkara-perkara yang berbentuk galakan dan amaran sahaja. Dan jika hadis tersebut mencapai tahap Dhai’f, maka akan ada pertikaian mengenainya. Penerimaan hadis-hadis palsu bermaksud memasukkan unsur bukan agama ke dalam agama. Begitu juga sebaliknya jika hadis-hadis Sahih ditolak. Ia bermaksud mengeluarkan daripada agama, sebahagian daripada agama.

Para pendakwah atau Da’ie sepatutnya menguasai bidang hadis ini, kerana darinya lah, mereka dapat menambah bekalan ilmu serta membentuk persediaan asas untuk berdakwah. Di dalamnya terdapat panduan-anduan yang jelas dan terang, hujah-hujah yang meyakinkan, nasihat-nasihat yang berkesan, contoh-contoh yang dapat dijadikan pengajaran, bermacam-macam-macam suruhan dan larangan, serta galakan dan ancaman yang dapat melembutkan hati-hati yang keras.

Selain itu, ia dapat mengelakkan mereka daripada mengambil dalil daripada hadis-hadis yang tidak sabit di sisi ulama hadis dan berhujah dengan hadis-hadis itu untuk menghasilkan hukum-hakam mengenai halal haram wajib atau sunat sesuatu perkara. Dibimbangi juga, jika para da’ie tidak arif tentang ilmu hadis ini, mereka akan mengambil dalil daripada hadis-hadis yang tidak mempunyai sumber dan tidak disebutkan di dalam mana-mana kitab pun dan tidak ada pula sanadnya.

2. Selain itu, matlamat imu mustalah hadis adalah untuk mengelakkan diri daripada melakukan pembohongan ke atas nabi yang mana ia merupakan satu kesalahan yang amat berat. Ini ditegaskan oleh Nabi S.A.W sendiri di dalam sabnya yang berbunyi :

من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار"
Maksudnya : Barang siapa yang berdusta atasku (yakni atas namaku) dengan sengaja, maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya (yakni tempat tinggalnya) di neraka.

Berdasarkan hadis ini boleh dilihat betapa beratnya ancaman daripada Nabi Muhammad SAW keatas sesiapa yang berbohong menggunakan namanya dengan menisbahkan sesuatu hadith, kisah, hukum dan lain-lain kepada Baginda tanpa diselidiki kesohehannya terlebih dahulu. Mereka yang melakukan perkara ini seolah-olah mereka sudah menempah tempatnya di neraka kelak. Nauzubillah. Berdusta atas nama Rasullah S.A.W merupakan sebesar-besar dusta yang pernah dilakukan oleh manusia, sesudah berdusta atas nama Allah S.W.T, bahkan berdusta atas nama Rasulullah S.A.W sama dengan berdusta atas nama Allah S.W.T.

Syeikh Yusuf al-Qardhawi juga telah memberi amaran amaran kepada umat Islam tentang perlunya berwaspada kepada 3 penyakit yang berbahaya di dalam bidang al-Hadis ini. Perkara ini disebutkan di dalam kitabnya yang bertajuk ‘Bagaimana Berinteraksi Dengan Al-Sunah’ berdasarkan sabda Nabi S.A.W :

"يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله ينفون عنه تحريف الغالين وانتحال المبطلين وتأويل الجاهلين"

Maksudnya : Ilmu ini akan dipelihara daripada musuhnya dari setiap generasi. Mereka membersihkan daripada penyimpangan pelampau, pendustaan orang sesat, dan pentakwilan orang jahil.­­

3 perkara inilah yang perlu dibimbangi oleh umat Islam seluruhnya agar ia tidak meresap masuk ke dalam bidang hadis :

i.              Penyelewengan golongan pelampau

Golongan pelampau ini memasukkan unsur-unsur melebih-lebih serta menokok tambah ke dalam hadis-hadis nabi sehinggakan telah hilang sifat kesederhanaan, tolak ansur, dan memudahkan yang dianjurkan oleh agama Islam. Perkara ini ditegaskan oleh Allah S.W.T di dalam firmannya dalam surah Al-Maa’idah ayat 77 :

77. Katakanlah: "Wahai ahli Kitab! janganlah kamu melampau Dalam ugama kamu secara Yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum Yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan Yang betul"

ii.          Pendustaan oleh pendusta

Terdapat banyak pendustaan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak  ke atas hadis-hadis Nabi S.A.W. Mereka mereka-reka perkara yang bukannya daripada Nabi S.A.W. Ini berlaku apabila mereka gagal untuk menyerapkan unsur-unsur rekaan terhadap al-Quran. Pada sangkaan mereka lebih mudah untuk melakukan pendustaan terhadap hadis berbanding al-Quran. Tetapi, para ulama’ hadis telah mengambil langkah yang sewajarnya untuk menghadapi mereka dan menutup segala pintu pendustaan.

iii.       Pentakwilan oleh orang-orang yang jahil

Masalah berlaku apabila golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai ulama’, mentakwilkan sesuatu hadis secara sesuka hati mengikut kehendak dan fahaman mereka sahaja. Perkara seperti ini akan memburukkan agama Islam kerana mereka telah memalingkan kebenaran, mengurangkan apa yang terkandung di dalam Islam sehingga terkeluar daripada hukum-hakam dan ajaran Islam yang sebenar.

3. Ilmu Mustalah Hadis juga adalah bertujuan membersihkan jiwa manusia daripada elemen-elemen khurafat yang berpunca daripada golongan Israiliyyat. Mereka ini cuba memecahbelahkan umat Islam dengan menyebarkan kisah-kisah khurafat lagi tahyul. Ulama Tafsir dan hadis mendefinisikan israiliyat sebagai cerita yang dimasukkan oleh musuh-musuh Islam, baik yang datang dari Yahudi mahupun dari sumber-sumber lainnya. Kemudian, cerita-cerita ini diserapkan ke dalam tafsir dan hadis. Terdapat beberapa segelintir Ahli kitab yang masuk Islam, mereka berkongsi pengetahuan keagamaan mereka berupa cerita-cerita dan kisah-kisah lampau.

Para sahabat sangat memberi perhatian terhadap kisah-kisah yang mereka bawakan. Mereka tidak menerima begitu saja segala apa yang diterangkan oleh ahli kitab. Mereka meneliti terlebih dahulu kebenarannya dengan pengetahuan mereka. Dan apabila ternyata perkara yang diceritakan itu salah, mereka akan terus menolaknya. Sebagaimana yang disarankan oleh Nabi S.A.W di dalam hadis nya :

ولا تصدقوا أهل الكتاب ولا تكذبوهم, وقولوا آمنا بالله وما أنزل إلينا
 “Janganlah kamu membenarkan (keterangan) Ahli kitab dan jangan pula mendustakan nya, tetapi katakanlah, “Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami.” (HR. Bukhari)

Dan dalam hadis lain Nabi memperingatkan para perawi mahupun penyampai kisah-kisah itu agar tidak menyimpang dalam menceritakannya.

بلغوا عنى ولو آية, وحدثوا عن بنى اسرائل ولا حرج, ومن كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
“Sampaikanlah dariku walaupun hanya satu ayat. Dan ceritakanlah dari Bani Israil karena yang demikian tidak di larang. Tetapi barangsiapa berdusta atas namaku dengan sengaja, bersiap-siaplah menempati tempatnya di neraka” (HR. Bukhari).

Penutup

Secara kesimpulannya, ilmu Mustalah hadis adalah salah satu daripada cabang ilmu yang sangat penting dalam Islam. Hukum memahami dan mempelajarinya ilmu ini adalah Fardu Kifayah yang akan membolehkan hadis-hadis Nabi S.A.W terus terpelihara sebagai sumber hukum kedua selepas al-Quran dan kekal menjadi panduan amalan umat Islam sehingga ke akhir zaman.

               Dengan munculnya pelbagai golongan-golongan yang terpesong seperti golongan syiah,  yang kerap memalsukan hadis ataupun golongan anti hadis, golongan liberal dan sekular yang sering mempertikaikan kandungan hadis sebagai sumber hukum, umat islam sangat memerlukan suatu kaedah bagi mengetahui taraf kedudukan sesuatu hadis.

               Oleh itu, kemunculan ilmu ini dapat mendedahkan kepada umat Islam tentang kaedah-kaedah penting untuk mengetahui hal-ehwal perawi dan nas-nas hadith yang diriwayatkan. Ia juga bertujuan agar umat Islam tidak terpengaruh kepada ajaran aliran sesat iaitu golongan anti hadith disebabkan kejahilan mereka terhadap ilmu Mustalah Hadis.

               Melalui ilmu ini juga, ulama mengkategorikan pelbagai jenis hadith dan martabatnya supaya umat Islam dapat mengambil manfaat dengan mengenal pelbagai jenis hadis dan peranannya sebagai sumber kedua pengambilan hukum, dan menghargai kesungguhan serta jasa ulama hadis dalam memelihara sunnah Rasulullah s.a.w. daripada penyelewengan dan pemalsuan. 

Oleh : Al-Faqir Pemilik Fikiran
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Islam (Sek. Rendah) ,
Diploma Eksekutif Pengajian Syariah, Universiti Malaya.

Rujukan


  1.   M.M. Azami, Memahami Ilmu Hadis, Penerbitan Lentera.
  2. Qurrotul Aien Bt Fatah Yasin, Ilmu Mustolah Hadith, ISP Shabab Trading, 2006.
  3. Yusuf Al-Qardawi, Bagaimana Berinteraksi Dengan Al-Sunnah, Angkatan Belia Islam Malaysia, Selangor Darul Ehsan, 1996.
  4. Rohaizan Baru Md. Zain, Bagaimana Meletakkan Hukum Hadith, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 1999.

0 komen:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...